DISEMBER 2022

GPS Jamin Pelihara Kebebasan Beragama


KUCHING: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memberi jaminan akan sentiasa memelihara kebebasan beragama penduduk negeri ini.

Premier Sarawak yang juga Pengerusi GPS , Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi jaminan itu sebagai ketua Kerajaan Sarawak.

"Inilah Sarawak yang terkenal dengan masyarakatnya yang berbilang kaum dan agama, namun tidak menghadapi masalah untuk bersatu dalam kepelbagaian," katanya dalam perutusan Krismas 2022 dan Tahun Baharu 2023.

Abang Johari berkata, hanya di Sarawak keluarga orang Kristian dan orang Islam boleh hidup di bawah satu bumbung malahan gereja dan masjid juga tiada menghadapi masalah dengan kedudukan bersebelahan.

Katanya, Sarawak bertuah kerana agak terlindung dari persengketaan agama dan kaum yang sering berlaku tempat lain dan kuasa autonomi imigresennya mampu menyekat pelampau agama menjejakkan kaki di negeri ini.

"Namun, Sarawak tidak kalis sepenuhnya daripada unsur-unsur ekstremis yang datang ke Sarawak melalui saluran siber seperti media-media sosial yang biasanya untuk kepentingan politik pihak tertentu ,"katanya.

Beliau berkata, benteng Sarawak daripada anasir-anasir ini hanyalah kebijaksanaan sendiri untuk menapis apa yang baik daripada yang jahat dan yang fakta daripada yang auta.

Sumber dari : Jiwa Bakti